Carro News

5 Perkara Yang Anda Perlu Lakukan Jika Kereta Anda Dilanggar

Kadang-kadang kita bawa kereta hati-hati pun, kalau orang lain cuai, kereta kita pula dilanggar. Kalau jadi macam ini, jangan panik. Kekal tenang dan berbincang dengan pihak yang melanggar kereta anda.

car accident
Buat 5 perkara ni, dan kalau semua berjalan lancar, insurans pihak yang melanggar kereta anda akan menanggung tuntutan anda. Jadi tak perlu kacau insurans sendiri, Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) pun kekal selamat. 

1. Bawa kereta ke kawasan selamat

Kalau kereta masih boleh bergerak, lihat keadaan trafik dan alihkan kereta ke tepi jalan dan nyalakan lampu amaran kecemasan.

Kalau kereta rosak teruk dan perlu ditunda, hubungi syarikat insurans atau takaful anda, atau hubungi Pusat Panggilan Bantuan Kemalangan (AACC) 24‑jam di talian 15500. Anda boleh menuntut kos tunda di bawah tuntutan pihak ketiga, jadi pastikan anda simpan resit.

accident- man trying to fix car engine issue
Image source

2. Ambil gambar bukti

Untuk laporan polis dan tuntutan insurans, gambar bukti adalah sangat penting. Bukan sahaja untuk mengukuhkan kes anda, tapi juga untuk memudahkan proses tuntutan.

insurance-agent-working-site-car-accident-claim-process-people-car-insurance-claim
Image source

Jadi pastikan anda ambil gambar:

  • Kerosakan pada kereta anda dari pelbagai sudut
  • Gambar jarak jauh yang menunjukkan situasi pelanggaran antara kedua-dua kereta
  • Gambar jelas model dan nombor plat kereta yang melanggar

3. Dapatkan maklumat pihak yang melanggar kereta anda

Selepas itu, dapatkan maklumat daripada pemandu terbabit supaya senang untuk anda mengenal pasti dan menghubungi mereka nanti:

  • Nombor kad pengenalan & lesen memandu
    Kalau boleh, minta izin untuk tengok kad pengenalan dan lesen mereka, kemudian catatkan maklumat tersebut.
  • Nombor telefon
    Minta mereka terus menelefon nombor anda di tempat kejadian. Ini cara paling senang untuk pastikan nombor yang diberi betul.
  • Cukai jalan
    Ambil gambar cukai jalan pada kereta yang melanggar kereta anda (jika ada). Kalau tak ada, minta mereka tunjukkan cukai jalan dalam aplikasi MyJPJ dan ambil gambar paparan skrin. Jika rupanya cukai jalan mereka sudah tamat tempoh, ini akan menguatkan kes anda.
  • Syarikat insurans atau takaful
    Boleh minta insurans atau takaful pihak pelanggar untuk rujukan awal. Tapi kalau maklumat salah pun, laporan polis dan semakan JPJ atau insurans akan menunjukkan syarikat insurans kereta mereka yang sebenar.

4. Segera buat laporan polis (dalam 24 jam)

Dah siap ambil gambar dan dapatkan semua maklumat penting? Terus ke balai untuk buat laporan polis dalam masa 24 jam. Kalau lambat, anda boleh disaman!

Selepas laporan dibuat, pegawai penyiasat (IO) biasanya akan hubungi anda dalam 1 hingga 3 hari untuk ambil kenyataan penuh. Anda boleh serahkan semua gambar dan maklumat yang dikumpul tadi semasa memberi kenyataan. 

IO juga akan ambil kenyataan daripada pihak satu lagi, periksa kereta yang terlibat, ambil gambar tambahan, dan hubungi saksi kalau ada. Biasanya keputusan laporan akan siap dalam lebih kurang dua minggu.

Jangan lupa hubungi insurans anda (dalam 7 hari)

Hubungi talian khidmat pelanggan insurans anda dalam masa 7 hari daripada tarikh kemalangan. Anda cuma perlu berikan maklumat ringkas seperti:

  1. Tarikh dan lokasi kemalangan
  2. Nombor laporan polis
  3. Beritahu bahawa anda akan buat tuntutan pihak ketiga

Ini penting supaya rekod kemalangan anda ada dalam sistem dan mereka tak boleh tolak tuntutan dengan alasan anda lambat lapor.

5. Cari bengkel panel insurans yang berpengalaman buat tuntutan pihak ketiga

Carro Care Car Service Mechanic

Anda boleh hantar kereta terus ke bengkel: kereta anda akan disimpan di bengkel sehinggalah keputusan polis keluar (dalam masa 2 minggu).  

Kalau nak guna kereta dulu sementara menunggu keputusan polis pastikan jangan baiki sebarang kerosakan. Biarkan dalam keadaan asal supaya adjuster boleh menilai dengan tepat. Kalau tak, mungkin tuntutan tak akan meliputi semua kerosakan yang disebabkan kemalangan.

Bila keputusan polis keluar

Kalau keputusan polis sahkan anda tidak bersalah, anda kena serahkan kereta anda (kalau belum diserahkan) bersama dokumen-dokumen berikut untuk bengkel uruskan tuntutan pihak ketiga:

  1. Salinan IC
  2. Salinan lesen memandu
  3. Salinan geran kereta (Sijil Pemilikan Kenderaan JPJ)
  4. Salinan sijil insurans (atau cover note jika baru dibaharui)
  5. Salinan laporan polis awal
  6. Keputusan siasatan polis

Dalam beberapa hari, adjuster insurans akan ke bengkel untuk memeriksa kereta dan menilai kerosakan. Selepas laporan adjuster diluluskan (dalam 1 – 3 minggu), barulah kerja pembaikan bermula.

Anda juga boleh tuntut Pampasan untuk Taksiran Masa Pembaikan (CART) kerana tidak dapat guna kereta semasa ia dibaiki. Tapi CART tak kira masa tunggu keputusan polis atau tunggu kelulusan insurans. Ia hanya dikira dari hari kerja pembaikan bermula sampai kereta siap. Biasanya jumlah hari CART ini akan ditentukan sekali oleh adjuster semasa dia buat taksiran.

Siap! Sekarang anda dah tahu lima langkah penting yang patut dibuat bila berdepan situasi ini.

Ringkasan 5 langkah penting:

  1. Bawa kereta ke kawasan selamat
  2. Ambil gambar bukti
  3. Dapatkan maklumat pihak yang melanggar kereta anda
  4. Segera buat laporan polis (dalam 24 jam)
  5. Cari bengkel panel insurans yang berpengalaman buat tuntutan pihak ketiga

Tip Carro: Pasang dashcam

car dashcam

Kalau belum ada, memang berbaloi pasang dashcam dalam kereta. Video rakaman masa kemalangan boleh jadi bukti yang sangat membantu untuk polis dan insurans. 

Lepas semua ni, mungkin anda terfikir nak cari insurans yang lebih sesuai. Dengan Coverro, anda boleh bandingkan pelbagai pilihan insurans kereta dengan mudah, dan terus membaharui insurans, cukai jalan dan lesen dalam satu platform je.

Kalau nak jual kereta lama dan cari kereta baru, jom tengok pilihan kereta Carro Certified kami!

Related Articles

Back to top button