Buying and Selling Tips/Guides

Nak beli kereta? Jangan lupa ambil kira kos-kos ini sekali.

Lepas membuat keputusan nak beli kereta, mestilah teruja nak cari pilihan-pilihan kereta yang sesuai dengan bajet dan gaya hidup anda yang sedia ada di pasaran sekarang. 

Tapi selain bayaran ansuran bulanan dan kos petrol/diesel, ada banyak lagi perbelanjaan yang perlu difikirkan sebelum membeli kereta. Kos seperti bayaran pendahuluan, insurans, lesen, penyelenggaraan, dan lain-lain juga perlu diambil kira.

Mari kita lihat semua kos pemilikan kereta di Malaysia, termasuk kos-kos tersembunyi. Bila dah tahu awal-awal, barulah lebih yakin dan seronok nak pilih kereta yang sesuai  untuk pemanduan harian anda.

Insurans kereta dan cukai jalan

Di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, setiap kereta mesti ada insurans kenderaan dan cukai jalan yang sah. Jangan pandang ringan, jika dibiarkan tamat tempoh, anda boleh disaman, kereta kena tarik, dan boleh dikenakan tindakan undang‑undang.

Cukai jalan

Anda boleh pilih untuk bayar cukai jalan setiap 6 bulan ataupun setahun sekali. Sekarang senang saja untuk memperbaharui cukai jalan, selain kaunter JPJ atau pejabat pos, anda boleh terus memperbaharui secara online melalui MyJPJ atau MyEG.

Untuk kereta harian, jumlahnya biasanya tidak terlalu tinggi: sekitar RM70 – RM90 setahun bagi kereta kecil 1.3L – 1.6L, dan RM200 – RM380 untuk kereta sederhana 1.6L – 2.0L. Jadi walaupun ini kos tersembunyi yang wajib diambil kira, ia bukanlah beban besar kalau dirancang awal.

Insurans kereta

Anda wajib mendapatkan insurans kereta untuk melindungi diri sendiri dan/atau pihak ketiga sekiranya berlaku kemalangan yang menyebabkan kerugian atau kematian. 

Berapa insurans kereta yang anda akan perlu bayar setiap tahun? Ini bergantung kepada:

  • Model dan nilai kereta
  • Kapasiti enjin
  • Jenis perlindungan yang dipilih
  • Profil risiko anda
  • Syarikat insurans yang dipilih

Jika anda sudah memiliki kereta lebih daripada setahun tanpa sebarang tuntutan insurans, anda layak menikmati Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) untuk bayaran premium tahun berikutnya. 

Dah tahu kereta apa yang nak dibeli? Anda boleh semak dalam talian untuk dapatkan anggaran kos insurans kereta yang mungkin perlu dibayar setiap tahun.

Lesen memandu

Sebagai pemandu, jangan lupa juga tentang kos untuk memperbaharui lesen memandu. Kadar bayaran bergantung pada tempoh sah laku Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang anda pilih, daripada 1 tahun hingga maksimum 10 tahun. 

Kalau mampu, lebih berbaloi terus perbaharui untuk 10 tahun. Dengan ini, bukan saja anda akan menikmati diskaun 10 peratus, tapi anda tak perlu fikir tentang pembaharuan lesen untuk 1 dekad! Diskaun ini akan dikenakan secara automatik bila anda memohon untuk memperbaharui lesen dengan tempoh sah laku 10 tahun.

Kos On-The-Road (OTR)

Ramai pembeli kereta tak perasan kos ini sebab jarang dibincangkan. Kos OTR adalah caj tambahan yang wajib dibayar supaya kereta anda sah dan sedia untuk dipandu di jalan raya.

Antara perkara yang termasuk dalam kos ini ialah: 

  • Pemeriksaan keselamatan sebelum serahan
  • Pendaftaran rasmi dengan JPJ
  • Petrol atau diesel permulaan
  • Pemeriksaan Sewa Beli (HPI) (untuk kereta terpakai)
  • Cukai jalan
  • Nombor plat kereta
  • Insurans kereta
  • Caj dokumentasi
  • Pemasangan aksesori (tinted, PPF, dashcam etc)
  • Dan lain-lain

Jumlah kos ini berbeza-beza mengikut pengedar. Sebab itu penting untuk anda ambil tahu lebih awal supaya tak terkejut dengan caj tambahan.

Biasanya kos OTR (on-the-road) ini hanya dibayar sekali, tapi jumlahnya boleh mencecah tinggi. Kalau anda pandai berunding, anda boleh cuba untuk minta pengurangan kos ini.

Servis dan penyelenggaraan

Carro Care Car Service Mechanic

Setiap barang yang kita beli ada juga kos penjagaan dan penyelenggaraannya sendiri, termasuklah kereta. Harga servis kereta berbeza-beza mengikut faktor seperti umur kereta, jenis dan model, serta perbatuan.

Dengan memastikan kereta anda diservis secara berkala dan rutin, anda boleh memastikan kereta anda sentiasa dalam keadaan cekap, terbaik, dan sedia dipandu. Pada masa yang sama anda boleh juga mengelakkan kerosakan pada komponen-komponen penting dan mengurangkan kos ganti alat dan kos pembaikan besar.

Baca lagi: 7 Bahagian Kereta Yang Wajib Diservis Setiap Kali

Bayaran letak kereta dan tol

Kalau anda merancang untuk guna kereta ke tempat kerja, ada dua perkara penting yang perlu diambil kira: bayaran tempat letak kereta dan tol. Untuk kawasan bandar, dua-dua kos ini boleh jadi agak tinggi.

Tempat letak kereta di kawasan pejabat biasanya berbayar harian atau bulanan, dan kadar tol pula bergantung pada laluan lebuhraya yang anda gunakan.

Kalau tempat kerja anda jauh atau sering melalui kawasan bertol, jumlah bayaran bulanan tol sahaja boleh jadi lebih besar daripada yang dijangka.

Pembelian untuk meningkatkan kualiti hidup

Kos aksesori mungkin nampak kecil, tapi lebih elok diambil kira dalam bajet awal-awal masa merancang nak beli kereta:

Kamera papan pemuka (dashcam)

Dashcam boleh jadi bukti penting dalam sebarang kejadian atau kemalangan kerana rakamannya boleh menunjukkan apa yang sebenarnya berlaku.

Pemegang telefon (car phone holder)

Kalau selalu guna Waze atau Google Maps, pemegang telefon memang membantu. Jalan jelas nampak, tangan bebas, pemanduan pun lebih selamat.

Cermin gelap (tinted)

Dengan cuaca panas Malaysia, cermin gelap boleh membantu menyejukkan kereta, mengurangkan silau, melindungi anda daripada sinaran UV dan memberikan sedikit privasi kepada pemandu dan penumpang kereta.

Susut nilai harga kereta

car depreciation

Satu lagi kos tersembunyi yang ramai lupa ambil kira adalah susut nilai kereta. Dari hari pertama anda membawa kereta pulang, nilai kereta terus mula jatuh. Secara purata, kereta boleh susut nilai antara 8% hingga 15% setahun bergantung pada jenama, keadaan, perbatuan, permintaan pasaran dan sejarah penyelenggaraan.

Bila sampai masa nak jual kereta terpakai anda, beza harga beli dan harga jual inilah yang boleh menjadi kerugian paling besar. Sebab itu penting untuk ambil kira faktor susut nilai bila merancang bajet memiliki kereta.

Lepas bajet? Carilah kereta yang sesuai dengan gaya hidup anda

Bila fikir bajet beli kereta, harga kereta memang penting, tapi kena juga peka dengan kos-kos seperti insurans kereta, cukai jalan, servis berkala, bahan api, tol, bayaran tempat letak kereta, aksesori tambahan, hinggalah susut nilai kereta itu sendiri. 

Semua inilah yang dipanggil kos tersembunyi, dan kalau diambil kira awal-awal, anda boleh buat bajet yang lebih realistik supaya tak terbeban di kemudian hari.

Kereta terpakai sebaik yang baru dengan Carro Certified

Nak kereta yang macam baru tapi masih ikut bajet?

Carro Certified MS

Pilihlah kereta Carro Certified! Bila membeli kereta terpakai, nilai susut kereta sudah ditanggung pemilik sebelumnya dan premium insurans pun lebih murah sebab dikira mengikut nilai semasa kereta.

Yang paling penting, semua kereta terpakai Carro Certified telah melalui pemeriksaan 160 poin yang ketat, jadi anda boleh memandu pulang kereta anda dengan rasa senang dan yakin.

Atau kalau nak jual kereta anda? Serahkan saja kepada kami. Segala urusan termasuk laporan B5 Puspakom kami uruskan supaya anda boleh terus fokus pada kereta seterusnya dengan tawaran harga terbaik!

Related Articles

Back to top button