Maksud simbol-simbol penting pada papan pemuka (dashboard) kereta
Kita semua pernah alami situasi begini: Anda sedang seronok memandu sambil melayan perjalanan nak pergi kerja, balik rumah, atau bersiar-siar. Tiba-tiba bunyi bip menerjah lamunan. Anda pandang ke bawah dan ternampak ada simbol pelik yang baru muncul pada papan pemuka. Jadi anda pun mula tertanya-tanya “apa pula masalah kereta ni”. Dalam artikel ini, kami akan membantu anda mengenal pasti semua simbol-simbol pada papan pemuka kereta anda supaya anda tahu apa yang perlu dibuat bila mana-mana simbol ini menyala.

Sesetengah simbol pada papan pemuka kereta lebih mudah difahami daripada yang lain. Tapi, sangat penting untuk anda tahu maksud sebenar setiap lampu amaran supaya anda tahu sekiranya anda perlu berhenti tepi jalan dan hubungi bantuan sebelum keadaan jadi lebih teruk
Baca juga: Carro As-Is – rangkaian kereta baru kami yang telah diperiksa dan dijual seperti sedia ada.
Jenis-jenis simbol papan pemuka
Papan pemuka kereta memaparkan pelbagai simbol. Sesetengahnya berkaitan dengan ciri-ciri kenderaan (lampu dan brek), keselamatan (amaran terkeluar lorong) atau masalah mekanikal (amaran suhu enjin).
Perhatikan warna lampu penunjuk! Lampu hijau atau biru menunjukkan yang sistem sedang beroperasi seperti biasa. Lampu amaran oren/kuning secara amnya menandakan ada isu yang perlu diservis atau dibaiki dalam masa terdekat. Tapi kalau lampu amaran merah dan/atau berkelip-kelip ini menunjukkan masalah paling serius.
Kalau anda ternampak lampu merah berkelip-kelip, ambil tindakan segera! Sesetengah lampu papan pemuka merah adalah amaran keselamatan (seperti peringatan untuk memakai tali pinggang keledar), manakala ada yang menandakan isu mekanikal (seperti amaran suhu enjin panas). Jika lampu mekanikal merah menyala, cari tempat selamat untuk berhenti tepi jalan dan cari punca masalah. Kenderaan anda mungkin akan rosak atau berhenti berfungsi jika terus memandu.
Sebelum membaca senarai di bawah, sentiasa ingat:
- Setiap kereta itu berbeza, jadi simbol-simbol pada papan pemuka mungkin tidak sama atau tidak ada pada kereta anda. Kalau tak pasti, rujuk buku panduan kenderaan anda.
- Lampu papan pemuka akan menyala seketika apabila anda menghidupkan kenderaan. Ini tanda sistem sedang membuat pemeriksaan , jadi jika lampu terbuka dan padam selepas beberapa saat, maknanya kereta berfungsi seperti biasa.
Lampu amaran
Lampu penunjuk beg udara

Maksudnya: Kalau lampu amaran beg udara menyala, itu tanda ada masalah pada beg udara atau seluruh sistemnya.
Apa perlu dilakukan: Terus periksa kereta dengan segera! Beg udara boleh menyelamatkan nyawa semasa kemalangan, jadi penting untuk pastikan ia berfungsi dengan baik.
Lampu amaran sistem brek antikunci (ABS)

Maksudnya: Bila anda brek secara mengejut, seperti di jalan licin, ABS akan membantu mengelakkan roda terkunci. Jika lampu amaran ABS menyala, itu tanda sistem tersebut tidak berfungsi dengan baik.
Apa perlu dilakukan: ABS merupakan ciri keselamatan yang penting, jadi pastikan mekanik memeriksa masalah ini secepat mungkin.
Lampu amaran bateri

Maksudnya: Lampu ini menandakan masalah pada sistem pengecasan kenderaan. Puncanya mungkin kabel bateri longgar atau rosak, alternator rosak, ataupun kerosakan elektrik lain. Tanda-tanda lain mungkin termasuk lampu jam kereta menjadi malap, lampu hadapan kurang terang, atau kereta langsung tak boleh dihidupkan.
Apa perlu dilakukan: Bawa kereta ke mekanik untuk pemeriksaan bateri kereta anda. Jika bateri mati sepenuhnya, anda perlu hubungi mekanik atau gunakan kereta lain untuk “jumpstart”.
Lampu amaran brek/brek tangan

Maksudnya: Kalau ternampak simbol ini pada papan pemuka atau perkataan “BRAKE” dalam warna merah, maknanya brek tangan kereta masih aktif atau ada masalah dengan sistem brek kereta.
Apa perlu dilakukan: Pertama, hentikan kereta dan pastikan brek tangan kereta sedang digunakan. Cuba tarik dan lepaskan brek semasa kereta dalam mod letak kereta “P”. Jika lampu masih menyala walaupun brek tangan kereta tidak digunakan, sila hubungi perkhidmatan tunda atau mekanik yang dipercayai.
Check engine light

Maksudnya: Ada beberapa sebab lampu amaran periksa enjin menyala. Kadang-kadang mungkin sebab penutup gas terbuka, longgar atau pecah, ini boleh menyebabkan bahan api meruap dan tersejat. Tapi ia juga mungkin menandakan masalah lebih serius, seperti tekanan minyak rendah atau pemanasan terlampau.
Apa perlu dilakukan: Jika tiada perbezaan dari segi pemanduan dan anda tidak perasan sebarang bunyi atau bau pelik, anda boleh terus memandu ke tempat terdekat (sebaik-baiknya balik ke rumah atau bawa kereta ke mekanik yang dipercayai).
Kalau lampu amaran periksa enjin berwarna merah atau berkelip-kelip, hentikan kenderaan serta-merta. Dalam kebanyakan kereta, ini biasanya menunjukkan yang kereta anda ada masalah besar yang boleh merosakkan enjin kereta kalau tidak diendahkan.
Dalam dua-dua situasi, pastikan kereta diperiksa dan dibaiki secepat mungkin.
Lampu amaran suhu enjin

Maksudnya: Enjin kereta terlampau panas! Ini biasanya berkaitan dengan bahan pendingin (juga dipanggil coolant/antifreeze), tapi mungkin juga sebab-sebab lain. Sesetengah kereta sentiasa menunjukkan lampu ini, dengan lampu biru untuk menunjukkan suhu terlalu rendah seperti dalam gambar pertama.
Apa perlu dilakukan: Mula-mula, cuba matikan penyaman udara. Kalau kereta anda ada fungsi pemanas, hidupkannya. Jika tiada perubahan selepas beberapa minit, berhenti di tempat yang selamat dan matikan enjin.
Jangan buka bonet depan semasa enjin masih panas. Biarkan enjin sejuk sekurang-kurangnya 15 minit! Membuka bonet semasa enjin masih panas boleh menyebabkan kecederaan akibat wap atau asap panas yang tersembur keluar.
Sementara menunggu enjin sejuk, fikirkan langkah seterusnya. Ini masa yang sesuai untuk hubungi bantuan tepi jalan untuk isian semula bahan pendingin atau menunda kereta ke bengkel berdekatan.
Lampu amaran terkeluar lorong

Maksudnya: Banyak kereta moden dilengkapi dengan ciri keselamatan amaran terkeluar lorong. Lampu ini akan menyala dan bunyi bip akan kedengaran apabila sistem mengesan kenderaan anda terkeluar dari lorong.
Apa perlu dilakukan: Betulkan stereng anda jika perlu dan kekalkan kedudukan dalam lorong. (Lampu ini juga menyala kalau anda memang berniat untuk menukar lorong.)
Lampu amaran bateri rendah untuk kunci fob

Maksudnya: Ini bermaksud bateri kunci fob anda hampir habis. Bila bateri habis, kereta anda tidak akan dapat dihidupkan atau dibuka. Sesetengah kereta menggantikan simbol bateri ini dengan simbol kilat.
Apa perlu dilakukan: Gantikan bateri secepat mungkin atau kereta anda tidak akan dapat dihidupkan! Dapatkan bantuan daripada pengeluar kereta anda atau mekanik yang dipercayai kerana kunci fob tidak menggunakan bateri biasa seperti AA atau AAA.
Lampu amaran kunci fob tidak dikesan

Maksudnya: Kereta anda tidak dapat mengesan kunci fob. Ini mungkin disebabkan kunci rosak, masalah kereta, atau kedua-duanya. Ini juga boleh berlaku jika bateri kunci fob semakin lemah.
Apa perlu dilakukan: Jumpa wakil pengeluar kereta atau mekanik yang dipercayai untuk memeriksa kunci fob anda. Jaga-jaga sebelum menyesal!
Lampu amaran tekanan minyak enjin

Maksudnya: Simbol tin minyak atau perkataan ‘OIL’ menunjukkan ada masalah dengan sistem tekanan minyak enjin anda. Sama ada minyak enjin hampir habis atau pam minyak tidak mengalirkan minyak secukupnya untuk melincirkan bahagian dalam enjin dengan betul.
Apa perlu dilakukan: Kekurangan pelincir enjin boleh menyebabkan kerosakan besar pada enjin, jadi ini amaran yang wajib diberi perhatian! Berhenti di tempat yang selamat secepat mungkin, matikan enjin, dan periksa minyak enjin! Tarik batang celup (dipstick) untuk semak paras minyak. Jika minyak rendah, periksa bahagian enjin untuk kesan kebocoran. Lampu amaran mungkin akan hilang selepas minyak ditambah.
Jika paras minyak mencukupi tetapi enjin berbunyi pelik, mungkin ini masalah pam minyak. Kalau paras minyak normal dan enjin berjalan lancar, mungkin penderia tekanan minyak yang rosak. Mana-mana pun masalahnya, bawa kereta ke bengkel secepat mungkin untuk diperiksa dan dibaiki oleh mekanik.
Lampu amaran tekanan tayar

Maksudnya: Juga dikenali sebagai simbol Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), simbol ini menunjukkan ada masalah pada tekanan tayar atau sistem TPMS itu sendiri.
Kalau simbol TPMS menyala secara berterusan, ini maknanya tekanan pada satu tayar atau lebih terlalu rendah atau terlalu tinggi. Jika simbol TPMS berkelip selama 60 – 90 saat apabila anda menghidupkan kereta dan kemudian terus menyala walaupun tekanan tayar normal, ini menandakan ada masalah dengan penderia TPMS.
Apa yang perlu dilakukan: Bahaya memandu dengan tekanan tayar yang terlalu rendah atau terlalu tinggi, tayar pun boleh rosak. Sebaiknya berhenti secepat mungkin dan cuba betulkan paras tekanan tayar.
Lampu kawalan cengkaman rosak

Maksudnya: Lampu ini menunjukkan penderia sistem kawalan cengkaman kenderaan mungkin rosak atau bermasalah. Dalam sesetengah kereta, modul kawalan untuk sistem ABS dan sistem kawalan cengkaman adalah sama, jadi lampu ini juga boleh menyala kalau ABS bermasalah.
Apa perlu dilakukan: Masalah ini tak akan mengganggu pemanduan anda, tapi baik periksa secepat mungkin untuk pastikan yang kenderaan anda boleh berfungsi dengan selamat terutamanya dalam keadaan jalan yang basah.
Lampu amaran suhu transmisi

Maksudnya: Transmisi kereta anda terlalu panas! Ini mungkin disebabkan oleh paras bendalir transmisi rendah, komponen transmisi haus, kereta sedang menarik beban berat, atau sebab-sebab lain.
Apa perlu dilakukan: Berhenti di tempat yang selamat secepat mungkin dan matikan enjin. Tunggu sehingga suhu kenderaan turun sebelum memandu semula dan terus ke bengkel secepat mungkin. Jika lampu amaran masih menyala dan anda masih jauh dari destinasi, sebaiknya hubungi perkhidmatan tunda.
Lampu penunjuk biasa
Lampu penunjuk kunci anjakan (shift lock) automatik/untuk mulakan enjin

Maksudnya: Kalau ternampak simbol ini pada papan pemuka, besar kemungkinan anda sedang cuba menukar gear atau menghidupkan enjin tanpa menekan brek. Sistem kunci anjakan automatik akan mengunci kenderaan anda dalam mod letak kereta (“P”) atau neutral sehingga anda menekan brek.
Apa perlu dilakukan: Tekan pedal brek terlebih dahulu, kemudian tukar gear atau hidupkan enjin seperti biasa.
Penunjuk bahan api rendah

Maksudnya: Anda mungkin biasa tengok lampu amaran ini (mungkin selalu sangat!). Ini maksudnya masa untuk mengisi minyak. Pada sesetengah kereta lampu ini sentiasa menyala, jadi kenali kereta anda! Kebanyakan kenderaan juga ada anak panah kecil berbentuk segitiga di sebelah simbol pam minyak—anak panah ini menunjukkan tangki minyak kereta berada di sebelah kiri atau kanan pemandu.
Apa perlu dilakukan: Jika perjalanan masih jauh, jangan ambil risiko! Anda tak tahu bagaimana keadaan cuaca atau trafik, jadi lebih baik berhenti di stesen minyak terdekat dan isi minyak sekarang.
Lampu penunjuk tali pinggang keledar

Maksudnya: Lampu ini peringatan untuk anda atau penumpang kereta supaya memakai tali pinggang keledar. Simbol ini biasanya disertakan dengan bunyi “ding” yang berulang-ulang.
Apa perlu dilakukan: Pakai tali pinggang keledar! Menurut CDC, tali pinggang keledar dapat mengurangkan risiko kecederaan serius akibat kemalangan sehingga 50%.
Lampu penunjuk keselamatan

Maksudnya: Kalau kenderaan anda dilengkapi sistem antikecurian, simbol ini akan berkelip secara berterusan apabila sistem keselamatan diaktifkan. Jika ia menyala tanpa berkelip dan kereta tak boleh dihidupkan, itu bermakna sistem immobilisasi telah diaktifkan akibat risiko keselamatan atau kerosakan. Jika lampu ini menyala dan kereta berfungsi seperti biasa, mungkin sistem keselamatan mengalami kerosakan yang perlu dibaiki.
Apa perlu dilakukan: Kalau kereta tak boleh dihidupkan, rujuk buku panduan kenderaan anda untuk cara nyahaktifkan sistem keselamatan. Jika sistem tersebut nampaknya sudah rosak, ia tidak akan berfungsi dengan betul sampailah dibaiki.
Lampu kawalan cengkaman

Maksudnya: Lampu ini menunjukkan bahawa sistem kawalan cengkaman kenderaan anda sedang aktif. Sistem ini menggunakan sistem brek antikunci (ABS) untuk mengesan jika satu roda berpusing lebih laju daripada yang lain. Jika ia mengesan roda tergelincir, brek akan ditekan secara automatik sehingga kenderaan mendapat semula cengkaman. Fungsi ini sangat berguna ketika memandu ketika hujan.
Apa perlu dilakukan: Terus memandu, tapi hati-hati dengan keadaan jalan yang licin.
Lampu penunjuk cecair pencuci (pengelap cermin depan)

Maksudnya: Simbol ini nampak seperti bentuk pergerakan pengelap cermin depan, ia menandakan bahawa cecair pencuci cermin depan sudah hampir habis.
Apa perlu dilakukan: Isikan semula takungan cecair pencuci secepat mungkin.
Lampu peringatan penyelenggaraan

Maksudnya: Jika anda nampak lampu sepana pada papan pemuka, itu bermakna kereta anda sudah sampai masa untuk diservis. Kadangkala, ia muncul sebagai simbol kereta dengan sepana di dalamnya.
Apa perlu dilakukan: Buat janji temu servis dengan mekanik yang dipercayai.
Lampu kenderaan
Lampu penunjuk lampu hadapan

Maksudnya: Lampu hadapan anda sedang menyala. Buka lampu hadapan bila hari mula gelap supaya pemandu lain boleh nampak kereta anda! Jangan lupa matikan lampu selepas anda meletakkan kereta.
Lampu penunjuk alur tinggi (high beam)

Maksudnya: Lampu tinggi anda sedang menyala. Lampu tinggi hanya patut digunakan pada waktu malam atau ketika gelap. Kalau digunakan bila tak perlu, ia boleh menyilaukan dan menyukarkan penglihatan pemandu lain. Jangan lupa matikan lampu ini selepas anda meletakkan kereta!
Lampu penunjuk lampu kabus

Maksudnya: Simbol ini menunjukkan bahawa lampu kabus menyala. Lampu kabus hanya patut digunakan apabila jarak penglihatan kurang daripada 100 meter. Jika digunakan tanpa perlu, ia boleh menyukarkan penglihatan pemandu lain. Jangan lupa mematikannya selepas anda meletakkan kereta!
Jadi itulah antara simbol-simbol papan pemuka kereta yang perlu anda ambil tahu! Jika ada yang tertinggal, beritahu kami supaya kami boleh tambahkan dalam senarai ini. Dan kalau anda mahu pastikan kereta anda sentiasa dalam keadaan terbaik, jangan lupa baca artikel terbaru kami tentang cara untuk servis kereta dengan Carro Care!




